Skip to main content

Permulaan Langkah Yang Tidak Mudah

[Permulaan Langkah Yang Tidak Mudah]

Pada saya, permulaan untuk mendapatkan rawatan dan sokongan yang sepatutnya dalam masalah kesihatan mental bukanlah sesuatu yang mudah.

Saya sendiri sangat lama hidup dalam penafian sedangkan diri sendiri sedar apa yang dialami itu bukan sesuatu yang normal. 

Memujuk hati dengan "perasaan aku je ni", akhirnya lama-kelamaan memakan diri.

Disangkakan apabila semua simptom sudah hilang bermakna kita sudah sembuh, rupanya kita sedang melalui fasa "remission", reda sementara sahaja.

Maka berulang-ulanglah proses yang sama tanpa campur tangan rawatan dan bantuan.

------------------------------------------------------------------------------------

RUJUKAN KE PSIKIATRI KALI PERTAMA

Langkah pertama saya untuk mendapatkan rawatan psikiatri ketika housemanship dulu, selepas tiga kali berjumpa dengan kaunselor, adalah dengan pergi ke klinik staf di bawah Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan. 

Jasa Dr. Raj tidak akan saya lupakan. 

Selepas melihat keputusan ujian saringan saya dalam "Depression, Anxiety and Stress Scale 21" (DASS-21) yang menunjukkan "extremely severe" untuk ketiga-tiga "stress", "anxiety" dan "depression", beliau tidak teragak-agak terus merujuk saya kepada jabatan psikiatri. 

Beliau sampai menemani saya berjalan kaki ke klinik psikiatri, menunggu sampai ada doktor yang boleh terus menguruskan kes saya.  

Namun saya tidak dapat berjumpa doktor psikiatri hari itu, tarikh diberikan keesokannya, hari bermulanya diagnosis, rawatan dan janji temu saya dengan psikiatri sehingga ke hari ini.

Walaupun tindakan saya menyerah diri kepada psikiatri itu nampak lemah dan lembik, itulah sebenarnya tindakan paling berani pernah saya lakukan seumur hidup.

Saya akhirnya berani membuat keputusan sebesar itu demi kesejahteraan diri saya. Itulah satu-satunya waktu yang saya tidak fikirkan lagi apa orang akan kata dan apa reaksi orang apabila mengetahuinya.

Ibaratnya ketika itu antara hidup dan mati. Saya tiada pilihan lain jika ingin menyelamatkan diri. 

Mungkin jika terlewat sedikit sahaja, entah apa yang upaya saya lakukan ketika itu untuk memudaratkan diri.

------------------------------------------------------------------------------------

NASIHAT DOKTOR SENIOR 

Pada hari saya mendapat diagnosis Major Depression Disorder (MDD) & Anxiety Disorder keesokan harinya, beserta sijil cuti sakit (MC) daripada psikiatri, seorang doktor senior menasihati saya untuk tidak menggunakan MC tersebut dan hadir kerja seperti biasa.

"Psikiatri tak boleh buat keputusan untuk kita"

"MC tidak akan ubah MDD"

"Takkan hanya sebab stress sikit tak nak kerja"

Beliau bimbang saya hanyut dengan MC yang diberikan kerana lama-lama saya mungkin akan malas untuk masuk kerja semula. MC juga akan memberi kesan kepada reputasi saya, menurut beliau. 

Saya faham niat beliau yang mengambil berat tentang saya.

Semuanya atas anggapan bahawa saya mengalami hanya sedikit tekanan ketika itu. Maklumlah saya pun baru bekerja dua bulan lebih. Beliau turut mengingatkan sebagai orang Islam saya tidak sepatutnya lemah.

Kalau diikutkan, semua nasihat tersebut perkara terakhir yang ingin saya dengar saat itu, meskipun saya tahu niatnya baik.

Doktor psikiatri telah memberi diagnosis dan kemudian saya dinasihatkan pula untuk tidak mengikut keputusan itu oleh doktor lain yang tidak menyelidiki terlebih dahulu keseluruhan cerita.

Agak terjejas juga fikiran saya yang baru saja mula hendak menerima diagnosis itu selepas sekian lama menanggungnya tanpa rawatan.

Tertanya-tanya juga, lemah sangatkah aku, salahkah tindakan aku, atau memang betul aku terlalu ikutkan rasa "stress"? Diri yang sudah teruk, bertambah teruk dirasakan.

Mujurlah waktu itu saya sudah terlalu penat. Sakit sudah tidak tertanggung lagi.

Saya memilih untuk mengikut sahaja pandangan Dr. Raj dan doktor di klinik psikiatri yang memberikan diagnosis setelah mendengar segala sejarah hidup dan cerita saya. 

Itulah antara pengalaman saya ketika mula-mula hendak mendapatkan rawatan yang betul.

------------------------------------------------------------------------------------

KURANGNYA KESEDARAN

Saya percaya nasihat seperti doktor senior itu, sering berlegar-legar dalam masyarakat kita.

Saya percaya niat orang yang memberi nasihat sedemikian adalah baik. Ingin membantu dan memberi nasihat berdasarkan pengalamannya.

Namun silapnya kerana tiada ilmu, pendedahan dan kesedaran tentang kesihatan mental. 

Ramai yang tidak tahu penyakit mental sama juga dengan penyakit lain yang tidak sembuh dengan kata-kata seperti "positiflah", "kembali kepada agama" atau "jangan dilayan perasaan".

Misalnya seseorang yang sedang mengerang kesakitan kerana patah kaki, kita tidak berkata kepadanya, "Positiflah, jangan dilayan rasa sakit itu dan kembalilah kepada agama", untuk menghilangkan rasa sakitnya. 

Begitu juga penyakit mental. Rasa sakit itu tidak semudahnya boleh hilang dengan nasihat "jangan dilayan".

Bayangkan orang yang sedang sakit patah kaki dan berdarah-darah pula, adakah akan berhenti pendarahannya dan hilang kesakitannya jika disuruh kuatkan iman dan jangan dilayan sakitnya?

Kemudian sudah disahkan diagnosis dengan kepatahan oleh doktor ortopedik, adakah kita akan menasihatkannya pula untuk tidak mengikut diagnosis doktor, tidak mengambil rawatan, tidak perlu cuti sakit, dan cukup sekadar melawan sakit seterusnya berjalan seperti biasa?

Begitulah umpamanya. 

Walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tidak dapat diuji di makmal atau radiologi seperti penyakit lain, penyakit mental itu "real", betul-betul ada dan ada rawatannya tersendiri.

Sayangnya, akibat tiada ilmu dan kesedaran tentang "mental illness", bukan sahaja simptom-simptom diabaikan, doktor psikiatri juga dipandang remeh keahliannya. 

Diagnosis, rawatan dan cuti sakit hasil pertimbangan psikiatri, mudah-mudah disisihkan.

Ini realiti yang berlaku.

------------------------------------------------------------------------------------

Stigma berkait penyakit mental sememangnya masih sangat tebal dalam masyarakat kita. Pesakit mental masih sering dipandang rendah dan sakitnya masih belum diiktiraf oleh masyarakat sebagai satu penyakit.

Label seperti "lemah iman", "overthinking", "lembik", dan "ikutkan sangat perasaan" masih biasa didengari.

Justeru marilah kita sama-sama mulakan dengan diri kita dan ahli keluarga kita untuk lebih menyebarluaskan kesedaran tentang kesihatan mental. 

Mudah-mudahan dengan usaha ini, lebih ramai pesakit mental mendapat rawatan awal dan sokongan yang sewajarnya, dan tidak lagi berlengah-lengah kerana mendapat nasihat yang tidak relevan daripada masyarakat.

Kepada pesakit mental, penerimaan terhadap penyakit kita adalah langkah pertama untuk kita menerima rawatan dan sokongan yang betul, seterusnya dapat berfungsi secara normal dan jalani hidup yang lebih baik. 

Sememangnya bukan mudah untuk mula menerima. Namun ingatlah, jika kita sendiri ragu-ragu, tidak mudah untuk orang lain membantu.

Kita mampu lakukannya insya-Allah.

Terima kasih kerana sudi baca tulisan ini hingga ke akhir.

Saya ada Bipolar II Disorder dan saya baru mula bertatih untuk berkongsi tentang kesedaran kesihatan mental. Doakan saya. 🤗

Ami Farhani 
Sri Cendana

------------------------------------------------------------------------------------

*Berikut ialah pautan untuk ujian saringan Depression, Anxiety, Stress Scale 21 (DASS-21) yang saya sebutkan di atas. Boleh "screenshot" keputusan dan tunjukkan kepada doktor di klinik kesihatan untuk tindakan lanjut. 

**Ujian ini adalah semata-mata saringan bukannya diagnosis. Perlu dibuat penilaian oleh doktor.
https://www.ramlimusa.com/questionnaires/depression-anxiety-stress-scale-dass-21-bahasa-malaysia/

***Gambar kenangan keratan sebenar surat rujukan kepada jabatan psikiatri pada 12 Oktober 2017  

#masihmanusia
#bipolariidisorder
#mentalhealthawareness
#kesedarankesihatanmental

Comments

Popular posts from this blog

Diagnosis Bipolar II Disorder Menghidupkan Diriku Semula

AMARAN: Tulisan yang sangat panjang. Terima kasih jika sudi baca sampai habis. 😊 [Diagnosis Bipolar II Disorder Menghidupkan Diriku Semula] Tarikh 8 September 2020 tidak akan saya lupakan. Tarikh saya didiagnosis dengan Bipolar II Disorder oleh pakar psikiatri yang merawat saya, Dr. Siti Hazrah di klinik psikiatri, Hospital Tunku Jaafar Seremban. Mengimbas kembali pada tarikh itu, saya sukar untuk menerima diagnosis yang baru diberikan. "Sayang tidak suka diagnosis bipolar II ini." Itulah ayat pertama saya kepada suami selepas berjumpa doktor. Saya menahan diri daripada menyuarakannya di hadapan doktor. Saya masih sangat terkejut dan tidak tahu bagaimana hendak mengeluarkan apa yang ada dalam fikiran. Namun saya percaya doktor dapat merasakannya. Beria juga doktor meyakinkan saya bahawa Bipolar II ini bukan sesuatu yang buruk. Kata doktor, ramai orang di dunia ini yang hebat-hebat juga didiagnosis dengan Bipolar II Disorder. Apa pun pesan beliau, saya perlu cuba dahu

Mula Membaca Buku

Dalam sebulan ini saya baru memulakan semula budaya membaca buku dengan konsisten yang telah sekian lama ditinggalkan. Sebelum ini masa banyak habis dengan baca artikel di facebook sahaja. Bercinta hendak menghabiskan bacaan buku. Kesannya selepas mengikat diri dengan buku, saya lebih rasa hidup. Mungkin sebab kita boleh ke dunia lain sebentar ketika membaca buku. Berbanding media sosial yang kebanyakannya mengulas tentang isu semasa. Isu semasa sekarang pula banyak yang memeningkan berbanding menenangkan. Saya pula baru sahaja rasa betul-betul "hidup" beberapa bulan ini setelah mendapat rawatan yang betul. Jadi baru perlahan-lahan cuba mengatur hidup semula dengan lebih baik. Semoga saya dapat istiqamah. Jika ada cadangan buku yang menarik untuk dibaca, sudi-sudikanlah berkongsi ya. ☺️